Pages

Monday 7 March 2016

Emak..

Assalamualaikum w.b.t...

Sempana Hari Wanita Sedunia, marilah kita ambil kesempatan untuk mengenang jasa-jasa dan pengorbanan wanita-wanita yang hebat dalam hidup kita. Pertama yang kita akan teringat tentulah mak kita. Jasa dan pengorbanan beliau, memanglah tiada tolok bandingnya. Biarlah siapapun diri kita, buruk, baik, dihina, dicemuh, dipuji, diuji, mak akan sentiasa ada untuk bersama kita. Bagi beliau, kita adalah yang paling terbaik !

Walaupun, selalunya 'emak' ni sangat sinonim dengan berleter, percayalah, leteran tu tak ada apa. Cuma pelepas geram saja. Semua tu di mulut sahaja. Percayalah. Sebab aku pun macam tu. Lol ! Semua emak ingin menjadi terbaik, dan memberikan terbaik untuk anak-anak dan keluarga. Kadang, terbaik yang emak berikan, bagi anak-anak ada yang rasa tak cukup baik. Sedih. Kalaulah anak-anak tahu betapa ingin dan sedayanya emak nak berikan terbaik untuk mereka...Tunjukkanlah kepada mereka yang kita sangat menghargai pengorbanan mereka untuk mahu yang terbaik untuk kita. Betapa hancur hati emak bila dia rasa dia gagal buat terbaik untuk anak-anak dan keluarga. Walaupun begitu, emak pasti tak akan menyalahkan anak-anaknya. Pasti dia akan menyalahkan dirinya sendiri.  Walaupun sebenarnya kita yang tak tahu bersyukur.Anak, hargailah emak...

Mungkin emak tak tinggi pelajarannya, tapi emak mahu anak-anaknya semua berjaya dunia dan akhirat. Sedih bila ada anak-anak yang pandang ibunya orang tak berpelajaran. Tak putus doanya untuk anak-anak biar berjaya dunia akhirat. Adakah nanti kita, bila emak sudah tiada nanti akan tak putus doa kita untuk emak seperti tak putusnya doa emak untuk kita semasa hayatnya? Kalau ada anak-anak yang dalam kesusahan, emak bangun malam-malam untuk memohon pada Allah kemudahan untuk anak-anaknya. Si anak yang dalam kesusahan, tidur berdengkur macam tak ada masalah ! Emak sanggup buat apa sahaja untuk anak-anaknya. Ada yang sanggup mengorbankan segalanya untuk memastikan anak-anaknya semua dapat apa yang mereka impikan. 

Waktu kita sakit, entah berapa baldi emak menangis sebab kasihankan kita. Emak berdoa dalam hati semoga sakit anaknya, biar dia saja yang dapat. Biar anaknya sihat. Sungguh emak takkan sanggup melihat anak-anaknya tidak sihat walaupun hanya demam selesema biasa. Dari kecil sampailah kita besar, kalau kita tak sihat, sampai tak tidur malam emak jaga kita. Esok di tempat kerja bagai orang linglung sebab semalaman tak tidur. Tapi, tetap itu tak ada apa bagi emak. Yang penting anak-anak sihat. Tapi bila emak tak sihat, jangankan kata berjaga malam jaga emak, telefon bertanya khabar pun jarang. Apa lagi nak pergi menjenguk. Minyak mahal katanya. Tol mahal katanya. Tak sempat katanya. Allah.. Emak sakit, ubatnya bukan panadol. Emak sakit ubatnya kehadiran anak-anaknya, terutama cucu-cucunya. Nenek dari sakit boleh berlari kalau melayan keletah cucu-cucu. Itu saja yang emak mahu..Dulu kita pun sakit sedikit, mengada yang lebih nakkan perhatian. Tak ada apa yang lebih penting bagi emak, sampai ditinggalkan dulu apa yang sedang dibuat untuk melayan mengada anak mahukan perhatian. Sedang masak, ditutupnya dulu api dapur, Sedang menyapu, diletaknya tepi penyapu. Sedang mandi, seadanya sahaja emak mandi mahu gegas melihat anak.

Hargailah emak sementara mereka masih ada. Bila emak sudah tiada, jangan pernah putus doakan untuk emak seperti doa emak untuk kita. Doa anak yang soleh dan solehah menjadi bekalan emak di sana. Bila emak sudah tiada, itulah sahaja bentuk penghargaan yang mampu kita bekalkan untuk emak.. Sementara emak masih ada di depan mata, hargailah wanita itu. Makin detik, umur emak makin di makan waktu. Waktu dan kesempatan untuk kita peluk cium emak makin tipis. Seringlah menziarahi emak, ayah. Peluklah emak, ciumlah emak. Jangan sampai, ciuman pertama adalah ciuman terakhir untuk emak.







SELAMAT HARI WANITA



MOMMY.WIFE.DENTIST @}--,--